#JantungHatiMamaLieya

#JantungHatiMamaLieya

Tuesday, October 30, 2012

MIA Perlukan Penderma Hati

pix
Biarpun sedih namun ibu bapa muda ini tetap sabar menanti sinar yang mampu memberikan cahaya dalam kehidupan anak kecil mereka yang sakit. HASNITA SAWAL mendapatkan maklumat lanjut. Jurufoto MOHD HALIM SALLEH. 
Suara tangisan bayi menyambut kedatangan penulis di kediaman yang terletak di Kuala Langat. Tatkala kaki melangkah masuk ke dalam rumah kelihatan seorang bayi sedang menangis terlantar di atas permaidani.
Bertubuh kecil, berkulit gelap, si kecil terus melagukan irama sedu sambil kaki ciliknya terangkat-angkat. Abang-abangnya Luqman Haqeem, 5 dan Aiman Danish, 3, leka bermain di sisi adik seolah tidak hairan dengan tangisan itu. Biarpun Puteri Mia Adriana sudah mencecah usia 10 bulan namun dia masih kelihatan seperti bayi yang baru lahir. Semua perkembangan satu-satunya anak perempuan milik Nurhashimah Tasim, 27 dan Mohd Nooridan Mohd Samsudin, 29 terbantut akibat penyakit yang dihidapi.
Lahirnya di Hospital Putrajaya pada tanggal 1 November 2011 secara normal disambut penuh kesyukuran. Seronok ibu dan ayah kerana dikurniakan zuriat perempuan setelah dua anak terdahulu adalah lelaki. Namun bahagia yang dikecapi berakhir semuanya apabila puteri cilik kesayangan keluarga mula diserang demam diikuti mata berwarna kuning dan perut membengkak. Bayi yang mesra disapa Mia mula menunjukkan ciri-ciri tidak sihat ketika usianya empat bulan. Pemeriksaan di klinik swasta berhampiran rumah kerana demam berlanjutan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) apabila doktor mengesyaki penyakit lain. “Doktor menyuruh kami buat pemeriksaan lanjut di PPUM kerana simptom Mia menunjukkan sakit berkaitan hati,” tuturnya tenang.
Pembedahan kecil
Jika bayi lain diserang jaundis selepas lahir tetapi Mia langsung tiada masalah demam kuning tersebut. Rupanya ada petanda lain yang lebih buruk. Untuk mengesan punca penyakit Mia, doktor melakukan pembedahan kecil di bahagian perut ketika dia berusia lima bulan. Sedikit contoh hati Mia diambil akhirnya menemukan jawapan penyakit yang dihidapinya. Bahkan cebisan hati juga berujuan untuk mencari penderma yang sesuai.
Menerima berita sedih yang menimpa si anak dengan perasaan bercampur baur. Nurhashimah mengaku mula-mula dia tidak boleh menerima kerana berlaku kepada satu-satunya anak perempuan yang dimiliki. Tetapi sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan terdekat sedikit sebanyak menyuntik semangat kepadanya dan suami untuk berjuang menyembuhkan penyakit Mia. Menurut doktor hanya pembedahan pemindahan hati menjadi rawatan untuk menyembuhkan pesakit Biliary Atresia. Buat masa sekarang Mia hanya makan ubat vitamin untuk menguatkan antibodi badannya.
Merengek sakit
Sepanjang perbualan dengan si ibu, suara tangisan dan rengekan Mia mengiringi kami. Menurut Nurhashimah memang begitulah keadaan bayinya. “Sejak disahkan sakit Mia tidak berhenti menangis. Dia hanya diam sekejap sahaja bila tidur atau menyusu. Selebihnya Mia akan menangis kerana dia berasa sakit,” ujarnya memberitahu tidak pernah tidur lena sejak Mia sakit. Selain minum susu badan, Mia turut diberi susu khas yang disarankan doktor untuk menaikkan berat badannya. Ini kerana katanya ia penting untuk membuat pembedahan pemindahan hati.
“Doktor kata bila beratnya sudah cecah 10 kg barulah boleh buat pembedahan. Sekarang hanya 5 kg dan sering naik turun walaupun dia tiada masalah dari segi makan dan minum susu. Masalahnya bila makan banyak perutnya akan jadi besar dan bila bawa hospital kena buang sebab dalam perut banyak cecair sahaja. Najis yang dikeluarkan cecair sahaja kerana makanan yang dimakan tidak dapat diproses. Kalau kentut pun dia akan menangis sebab sakit.”
Saluran hempedu
Fizikal pesakit Biliary Atresia memang serupa. Berbadan kecil seolah hanya tinggal tulang dan kulit sahaja, berkulit gelap dan perutnya membuncit. Keadaan tubuh yang kurus kering dan kulit gelap adalah disebabkan segala makanan yang dimakan tidak diproses menjadi lemak dalam badan. Najis dan air kencing yang dikeluarkan oleh Mia juga berbeza dengan bayi yang sihat. Menurut Norhashimah najis anaknya berwarna pucat dan cair sahaja sementara air kencingnya pula berwarna seperti air teh O.
Mengimbas kembali punca penyakit anaknya, dia yang awalnya buntu bagaimana Mia boleh dihidapi penyakit Biliary Atresia sedangkan dalam sejarah keluarga kedua belah pihak tidak ada yang mendapat penyakit tersebut. “Menurut doktor penyakit Mia sudah mula terbentuk sejak dia di dalam perut saya lagi. Saluran hempedunya dikatakan tersumbat dan sempit. Oleh sebab tidak dapat mengesan penyakit ketika bayi dalam perut maka saluran itu tertutup dan memberi kesan kepada hatinya,” ceritanya yang tiada sebarang masalah kesihatan sepanjang mengandungkan Mia.
Penderma organ
Menjaga Mia tidak sukar tetapi perhatian 24 jam perlu diberikan kepadanya. Norhashimah yang tidak bekerja memberitahu kebanyakan masanya dihabiskan dengan Mia. Kerja-kerja rumah hanya boleh dilakukan apabila Mia melelapkan matanya seketika. Sebaik sedar tangsiannya membuatkan Norhashimah tidak senang duduk. Risau akan perkara buruk berlalu kepada anak kesayangannya. Kini dia dan suami hanya menunggu saat Mia boleh menjalankan pembedahan bagi menyembuhkan penyakitnya. Semua itu hanya boleh direalisasikan apabila berat badan Mia bertambah kepada 10 kg dan mendapat penderma hati.
Kes anak kecil yang malang ini dirujuk ke Hospital Selayang yang mempunyai doktor pakar berkaitan penyakit hati. Mia bukan sahaja perlu menjalankan rawatan susulan di hospital Selayang tetapi jika dijangkiti demam biasa dia perlu mendapat rawatan di hospital yang sama juga. Bahkan untuk suntikan imunisasi juga Mia perlu mengambilnya di hospital tersebut kerana menurut Norhashimah hospital lain tidak berani untuk mengendalikan pesakit Biliary atresia yang mudah mengalami pendarahan ketika menerima suntikan imunisasi.
Menanti dan menunggu sememangnya perkara yang menyiksakan tetapi bagi Norhashimah dan suami, mereka rela merasakan penyiksaan tersebut asalkan hasilnya memberi sinar baru dalam hidup bayi mereka. “Sekarang kami menunggu penderma organ dari kalangan orang yang meninggal atau ahli keluarga selain berharap berat badan Mia dapat bertambah dengan cepat supaya pembedahan dapat dijalankan segera,” beritahu Mohd Nooridan penuh mengharap. Bagaimanapun dia faham apa yang dinantikan itu bukan semudah disangka. Ditanya mengapa tidak dia sendiri mendermakan hati untuk anaknya, Nooridan memberitahu doktor menasihatkan lebih baik menerima organ yang didermakan oleh orang yang meninggal kerana banyak risiko jika ahli keluarga terdekat menderma.
 
(Sumber: Majalah Pa&Ma November 2012)

No comments: