#JantungHatiMamaLieya

#JantungHatiMamaLieya

Tuesday, October 30, 2012

MIA Perlukan Penderma Hati

pix
Biarpun sedih namun ibu bapa muda ini tetap sabar menanti sinar yang mampu memberikan cahaya dalam kehidupan anak kecil mereka yang sakit. HASNITA SAWAL mendapatkan maklumat lanjut. Jurufoto MOHD HALIM SALLEH. 
Suara tangisan bayi menyambut kedatangan penulis di kediaman yang terletak di Kuala Langat. Tatkala kaki melangkah masuk ke dalam rumah kelihatan seorang bayi sedang menangis terlantar di atas permaidani.
Bertubuh kecil, berkulit gelap, si kecil terus melagukan irama sedu sambil kaki ciliknya terangkat-angkat. Abang-abangnya Luqman Haqeem, 5 dan Aiman Danish, 3, leka bermain di sisi adik seolah tidak hairan dengan tangisan itu. Biarpun Puteri Mia Adriana sudah mencecah usia 10 bulan namun dia masih kelihatan seperti bayi yang baru lahir. Semua perkembangan satu-satunya anak perempuan milik Nurhashimah Tasim, 27 dan Mohd Nooridan Mohd Samsudin, 29 terbantut akibat penyakit yang dihidapi.
Lahirnya di Hospital Putrajaya pada tanggal 1 November 2011 secara normal disambut penuh kesyukuran. Seronok ibu dan ayah kerana dikurniakan zuriat perempuan setelah dua anak terdahulu adalah lelaki. Namun bahagia yang dikecapi berakhir semuanya apabila puteri cilik kesayangan keluarga mula diserang demam diikuti mata berwarna kuning dan perut membengkak. Bayi yang mesra disapa Mia mula menunjukkan ciri-ciri tidak sihat ketika usianya empat bulan. Pemeriksaan di klinik swasta berhampiran rumah kerana demam berlanjutan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) apabila doktor mengesyaki penyakit lain. “Doktor menyuruh kami buat pemeriksaan lanjut di PPUM kerana simptom Mia menunjukkan sakit berkaitan hati,” tuturnya tenang.
Pembedahan kecil
Jika bayi lain diserang jaundis selepas lahir tetapi Mia langsung tiada masalah demam kuning tersebut. Rupanya ada petanda lain yang lebih buruk. Untuk mengesan punca penyakit Mia, doktor melakukan pembedahan kecil di bahagian perut ketika dia berusia lima bulan. Sedikit contoh hati Mia diambil akhirnya menemukan jawapan penyakit yang dihidapinya. Bahkan cebisan hati juga berujuan untuk mencari penderma yang sesuai.
Menerima berita sedih yang menimpa si anak dengan perasaan bercampur baur. Nurhashimah mengaku mula-mula dia tidak boleh menerima kerana berlaku kepada satu-satunya anak perempuan yang dimiliki. Tetapi sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan terdekat sedikit sebanyak menyuntik semangat kepadanya dan suami untuk berjuang menyembuhkan penyakit Mia. Menurut doktor hanya pembedahan pemindahan hati menjadi rawatan untuk menyembuhkan pesakit Biliary Atresia. Buat masa sekarang Mia hanya makan ubat vitamin untuk menguatkan antibodi badannya.
Merengek sakit
Sepanjang perbualan dengan si ibu, suara tangisan dan rengekan Mia mengiringi kami. Menurut Nurhashimah memang begitulah keadaan bayinya. “Sejak disahkan sakit Mia tidak berhenti menangis. Dia hanya diam sekejap sahaja bila tidur atau menyusu. Selebihnya Mia akan menangis kerana dia berasa sakit,” ujarnya memberitahu tidak pernah tidur lena sejak Mia sakit. Selain minum susu badan, Mia turut diberi susu khas yang disarankan doktor untuk menaikkan berat badannya. Ini kerana katanya ia penting untuk membuat pembedahan pemindahan hati.
“Doktor kata bila beratnya sudah cecah 10 kg barulah boleh buat pembedahan. Sekarang hanya 5 kg dan sering naik turun walaupun dia tiada masalah dari segi makan dan minum susu. Masalahnya bila makan banyak perutnya akan jadi besar dan bila bawa hospital kena buang sebab dalam perut banyak cecair sahaja. Najis yang dikeluarkan cecair sahaja kerana makanan yang dimakan tidak dapat diproses. Kalau kentut pun dia akan menangis sebab sakit.”
Saluran hempedu
Fizikal pesakit Biliary Atresia memang serupa. Berbadan kecil seolah hanya tinggal tulang dan kulit sahaja, berkulit gelap dan perutnya membuncit. Keadaan tubuh yang kurus kering dan kulit gelap adalah disebabkan segala makanan yang dimakan tidak diproses menjadi lemak dalam badan. Najis dan air kencing yang dikeluarkan oleh Mia juga berbeza dengan bayi yang sihat. Menurut Norhashimah najis anaknya berwarna pucat dan cair sahaja sementara air kencingnya pula berwarna seperti air teh O.
Mengimbas kembali punca penyakit anaknya, dia yang awalnya buntu bagaimana Mia boleh dihidapi penyakit Biliary Atresia sedangkan dalam sejarah keluarga kedua belah pihak tidak ada yang mendapat penyakit tersebut. “Menurut doktor penyakit Mia sudah mula terbentuk sejak dia di dalam perut saya lagi. Saluran hempedunya dikatakan tersumbat dan sempit. Oleh sebab tidak dapat mengesan penyakit ketika bayi dalam perut maka saluran itu tertutup dan memberi kesan kepada hatinya,” ceritanya yang tiada sebarang masalah kesihatan sepanjang mengandungkan Mia.
Penderma organ
Menjaga Mia tidak sukar tetapi perhatian 24 jam perlu diberikan kepadanya. Norhashimah yang tidak bekerja memberitahu kebanyakan masanya dihabiskan dengan Mia. Kerja-kerja rumah hanya boleh dilakukan apabila Mia melelapkan matanya seketika. Sebaik sedar tangsiannya membuatkan Norhashimah tidak senang duduk. Risau akan perkara buruk berlalu kepada anak kesayangannya. Kini dia dan suami hanya menunggu saat Mia boleh menjalankan pembedahan bagi menyembuhkan penyakitnya. Semua itu hanya boleh direalisasikan apabila berat badan Mia bertambah kepada 10 kg dan mendapat penderma hati.
Kes anak kecil yang malang ini dirujuk ke Hospital Selayang yang mempunyai doktor pakar berkaitan penyakit hati. Mia bukan sahaja perlu menjalankan rawatan susulan di hospital Selayang tetapi jika dijangkiti demam biasa dia perlu mendapat rawatan di hospital yang sama juga. Bahkan untuk suntikan imunisasi juga Mia perlu mengambilnya di hospital tersebut kerana menurut Norhashimah hospital lain tidak berani untuk mengendalikan pesakit Biliary atresia yang mudah mengalami pendarahan ketika menerima suntikan imunisasi.
Menanti dan menunggu sememangnya perkara yang menyiksakan tetapi bagi Norhashimah dan suami, mereka rela merasakan penyiksaan tersebut asalkan hasilnya memberi sinar baru dalam hidup bayi mereka. “Sekarang kami menunggu penderma organ dari kalangan orang yang meninggal atau ahli keluarga selain berharap berat badan Mia dapat bertambah dengan cepat supaya pembedahan dapat dijalankan segera,” beritahu Mohd Nooridan penuh mengharap. Bagaimanapun dia faham apa yang dinantikan itu bukan semudah disangka. Ditanya mengapa tidak dia sendiri mendermakan hati untuk anaknya, Nooridan memberitahu doktor menasihatkan lebih baik menerima organ yang didermakan oleh orang yang meninggal kerana banyak risiko jika ahli keluarga terdekat menderma.
 
(Sumber: Majalah Pa&Ma November 2012)

Wednesday, October 10, 2012

Fitnah

Fitnah An - Namimah ( Bahaya Mengadu domba)


Dr Azwira Abdul Aziz

Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya;
“Seorang Muslim adalah seseorang yang orang Muslim lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya.” (riwayat Imam al-Bukhari, no. 10)
Antara maksiat melalui lisan ialah namimah. Maksud namimah ialah memetik kata-kata orang dan menyebarkannya dengan tujuan untuk merosakkan, melagakan-lagakan, mencetuskan permusuhan, perbalahan dan kemarahan di kalangan manusia. Imam an-Nawawi (wafat 676 H) mengatakan bahawa para ulama mendefinisikan namimah sebagai menyampaikan perkataan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosak hubungan di antara mereka (lihat: Syarah Nawawi untuk Shahih Muslim 1/214).
Di dalam bahasa Melayu namimah disebut sebagai ‘membawa mulut’ dan ‘mengadu domba’ Ini adalah salah satu jenis maksiat lidah kerana petikan itu dipindahkan melalui lidah. Antara sifat orang yang tidak beriman ialah hamaz iaitu suka menggelar-gelarkan orang dan mengadu domba. Di dalam al-Qur’an Allah berfirman maksudnya:
“Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).” (surah al-Qalam, ayat 10-11)
Dari Hudzaifah, beliau mengetahui laporan tentang adanya seseorang yang suka melakukan namimah (adu domba) maka beliau mengatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda maksudnya;
“Nammam (orang yang suka mengadu-domba) itu tidak akan masuk syurga” (riwayat Imam Muslim, no 303).
Ini adalah dosa besar pada pertimbangan atau pada ukuran ulama salaf seperti yang dihimpukan oleh Imam Syamsudin az-Zahabi (wafat 748H) dalam kitab Al-Kaba-ir (Dosa-dosa Besar). Akan tetapi pada ukuran manusia pada hari ini, mereka tidak merasakan perkara itu sensitif dan besar kesalahannya sedangkan berdasarkan hadis Nabi SAW, ini adalah satu ancaman yang berat.
Kisah dua ahli kubur
Di dalam hadis lain daripada Abdullah Ibn Abbas RA, Nabi SAW melalui dua buah kubur kemudian Nabi berkata, maksudnya:
“Sesungguhnya kedua-dua ahli kubur ini sedang diazab.”
Hadis ini menceritakan tentang azab kubur. Tetapi kedua-dua ahli kubur itu bukanlah diazab berdasarkan dosa besar pada pandangan kedua-duanya. Salah seorang daripada mereka suka melakukan adu domba dengan memetik kata-kata orang tertentu kemudian menyebarkannya untuk mencetuskan permusuhan. Manakala seorang lagi itu tidak bersih daripada air kencing ataupun cara dia qada hajat tidak mengikut sunnah Nabi.
Seperti yang dijelaskan Nabi yang bermaksud,
“Dan keduanya bukanlah diazab kerana perkara yang berat untuk ditinggalkan. Yang pertama, tidak membersihkan diri dari air kencingnya. Sedang yang kedua, berjalan ke sana ke mari menyebarkan namimah.” (riwayat Imam Al-Bukhari, no. 213)
Kedua-duanya ahli kubur tersebut menganggap perkara tersebut adalah dosa kecil. Mereka diazab disebabkan dosa yang kedua-duanya menganggap ianya dosa kecil. Mereka mengambil ringan perkara tersebut menyebabkan mereka sendiri menerima padahnya.
Di dalam hadis lain Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Mahukah kalian jika aku memberitahu kepada kamu orang yang paling jahat di kalangan kamu?’ Maka jawab sahabat ‘Ya’. Lalu baginda bersabda lagi maksudnya ‘Orang yang suka mengadu domba dan memecah belahkan kasih sayang di antara manusia dan orang yang mencari keaiban orang yang tidak berdosa.” (riwayat Imam Ahmad)
Ini adalah 3 golongan yang Nabi sebut di dalam hadis ini secara khususnya sebagai sejahat-jahat manusia atau sejahat-jahat umat baginda.
Namimah ini suatu perkara yang berleluasa pada zaman sekarang lebih-lebih lagi di dalam kontek perkembangan teknologi semasa. Jika dahulu sebaran itu tidak meluas dan tidak begitu cepat tetapi sekarang ini satu namimah yang dibuat sebarannya sampai ke seluruh ufuk seperti yang disebut oleh Nabi SAW. Ini kerana telah adanya satelit yang memindahkannya keseluruh ufuk. Jadi skop perbalahan itu akan cepat berlaku dan lebih meluas. Ini adalah antara perkara yang kita sama-sama perlu jaga dan muhasabah.
Kaedah menangani namimah
Saya tertarik di dalam kitab Sahih al-Bukhari pengarangnya menyenaraikan beberapa perkara dan etika ataupun tip yang perlu kita ambil dan gunakan di dalam menangani permasalahan namimah ini.
Pertamanya apabila seseorang itu memilih sikap tidak mudah mempercayai berita yang dibawa oleh golongan manusia yang jenis nammam (pembawa mulut) kerana membawa mulut itu adalah orang fasik yang melakukan maksiat. Maka jangan benarkan diri kita mempercayai orang seperti itu. Allah SWT sendiri menyuruh supaya kita berhati-hati dengan berita yang dibawa oleh orang fasik. Firman-Nya yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.” (Surah al-Hujurat, 49: 6)
Kedua, berusaha mencegah, melarang dan menasihatkan pelaku namimah. Dalam pada masa yang sama kita jelaskan kepadanya keburukan dan kesan dosa namimah ini pada pertimbangan neraca Islam.
Ketiga, kita hendaklah melahirkan rasa marah kepadanya kerana Allah. Ini kerana orang yang melakukan namimah ini adalah orang yang dimurkai oleh Allah. Maka kita sebagai hamba Allah perlu melahirkan kemarahan juga kepada orang yang dimurkai oleh Allah tetapi dengan kadarnya. Sekurang-kurangnya kita tidak terikut dengan segala perbuatan buruknya.
Keempat, kita perlu bersangka baik dengan individu atau pihak yang diadu-dombakan sebelum kita memastikan perkara itu. Mengadu-domba di dalam konteks masyarakat kita sekarang ini kesan buruknya sangat serius. Kadang-kadang fakta itu tidak tepat dan bersifat tidak pasti. Boleh jadi fakta itu sejenis penipuan dan sesuatu yang diada-adakan serta yang boleh melaga-lagakan para ulama, pemimpin dan masyarakat seluruhnya.
Kelima, jangan membiarkan diri kita terikut-ikut dengan gaya pengadu-domba itu sehinggakan kita juga terjebak melakukan perkara yang sama. Mungkin pada asalnya kita hendak memperbetulkan keadaan tetapi tiba-tiba kita tersalah kata, jadi kita juga terperangkap masuk ke dalam kandang yang sama iaitu kandang namimah.
Jadi kita perlu muhasabah diri kita agar lebih berhati-hati supaya kita tidak mencetuskan perbalahan ataupun permusuhan di kalangan masyarakat disebabkan an-namimah yang merupakan salah satu daripada maksiat lidah.

Syirik

Pagi ni tergerak hati nak melewati blog2 berkenaan islamic ni. Niat di hati nak tambah ilmu.. Alhamdullilah dpt jugak sikit ilmu dan hajat di hati nak share ngan kawan@.. semoga sama2 kita ambik ikhtibar..

Soalan: Bagaimana jika seseorang itu tidak kenal syirik dan mati dalam keadaan syirik? Adakah dia diampuni?

Ustaz Muhammad Asrie bin Sobri

Sekretariat Ilmuan Malaysia Madinah

Jawapan:

Kalau dia itu memang orang yang hidup di belantara contohnya dan tidak sampai dakwah kepadanya, dan tugas umat Islam sepatutnya perlu pergi berdakwah kepada mereka. Pertama, umat Islam perlu muhasabah semula kerana tidak melaksanakan tanggungjawab dakwah.
Kedua, kalau betul wujudnya orang yang seperti ini, yang tidak mengenal syirik kerana tidak sampai Al Quran kepadanya, kalau Quran sampai pun dia tidak faham kerana tiada terjemahan dalam bahasa yang dia fahami, maka mereka ini musyrik semasa hayat di dunia, tetapi ketika di akhirat nanti mereka dihukum dengan hukum ahlil fatrah.
Apakah hukum ahlil fatrah? Ahlil fatrah adalah musyrik, mereka bukan mukmin. Sebab itu Nabi dilarang untuk mendoakan kedua ibu bapanya. Apabila Nabi ke kubur ibunya, baginda dilarang untuk meminta ampun untuk ibunya kerana ibunya mati dalam keadaan syirik. Tetapi apa hukum ibu Nabi ketika di akhirat, wallahu Ta’ala a’lam. Kita tidak tahu adakah ibunya di syurga atau neraka.
Tetapi ayah Nabi ada nas yang mengatakan ayah Nabi masuk neraka. Antaranya adalah satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, iaitu ketika Nabi SAW ditanya oleh seseorang dengan katanya, “Wahai Rasulullah, dimana bapaku?”. Nabi SAW menjawab, “dalam neraka”.
Ketika dia berpaling pergi, Nabi SAW memanggilnya dan berkata;
إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ
Maksudnya;  “Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu dalam Neraka.”
Jadi orang yang begini (ahlil fatrah) kita tidak boleh secara jazam (pasti) menyatakan mereka ahli syurga atau ahli neraka. Sebab ahlil fatrah akan diuji oleh Allah SWT di mana mereka akan disuruh masuk ke neraka, siapa yang masuk ke neraka, sebelum sempat dia sampai ke neraka Allah akan menariknya masuk ke syurga, manakala siapa yang ingkar akan dilontarkan masuk ke neraka.
Adapun orang yang hidup di negeri Islam yang tersebarnya dakwah tauhid, ada kelas pengajian agama, ada kitab-kitab yang boleh dia baca tetapi dia sendiri yang tidak ambil peduli maka orang seperti ini adalah musyrik; mati dalam keadaan musyrik dunia dan akhirat kerana dia tidak belajar. Wajib ke atasnya mencari ilmu.
Jadi ia bergantung kepada keadaan, jika dia benar-benar hidup dalam suasana masyarakat yang tidak sampai dakwah maka dia ahlil fatrah, tetapi jika dia hidup dalam negara Islam yang sampai dakwah, orang yang melakukan syirik akbar (syirik besar) seperti menyembelih binatang dengan nama selain Allah SWT, dan lain-lain perbuatan syirik yang jelas di dalam Al Quran maka tiada alasan baginya, dia memang mati sebagai musyrikin. Ini adalah kesalahan dia sendiri kerana tidak mempelajari agama.

Wallahu Ta’ala A’lam.