#JantungHatiMamaLieya

#JantungHatiMamaLieya

Monday, August 8, 2011

Ibadat puasa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.
Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Syarat wajib puasa

Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:
  • Berakal/waras
  • Baligh (cukup umur)
  • Mampu/tidak uzur.

Syarat sah puasa

Manakala syarat puasa itu diterima di dalam Islam (sah) ialah:
  • Orang Islam
  • Berakal - tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.

Rukun puasa

Rukun puasa ada dua, iaitu:
  • Berniat pada malam harinya
  • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sunat puasa

Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:
  • Makan sahur serta melambatkannya
  • Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
  • Menjamu orang-orang berbuka puasa
  • Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.

Perkara yang membatalkan puasa

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
  • Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Gila (hilang akal)
  • Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
  • Murtad (keluar dari Islam)
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).

Mereka yang diizinkan berbuka

Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:
  • Orang yang sakit .
  • Orang yang berkerja buruh.
  • Orang yang dalam musafir (perjalanan).
  • Orang tua yang sudah lemah.
  • Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Kerugian meninggalkan puasa Ramadhan

Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Thursday, August 4, 2011

Demam



Suhu badan bayi saya telah meningkat ke paras yang amat tinggi. Adakah saya perlu risau?

Sukar untuk tidak risau apabila bayi anda sedang menangis dan suhunya meningkat tetapi demam jarang membawa bahaya. Demam merupakan suhu badan yang melebihi suhu normal badan. Suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah dari 97.7 darjah F / 36.5 darjah C sehingga 100 darjah F / 37.8 darjah C. Bayi mempunyai suhu yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang lebih besar, dan suhu manusia selalunya akan naik semasa siang dan turun semasa malam. Secara amnya, bayi tidak dianggap demam kecuali suhunya melebihi 100 darjah F / 37.7 darjah C pada waktu pagi atau melebihi 101 darjah F / 38.2 darjah C pada waktu petang.

Kenapa kita selalu demam?

Demam ialah satu cara badan kita melawan jangkitan. Makrofaj iaitu sel “pembersih” dalam badan kita sentiasa dalam keadaan berkawal. Apabila mereka menemui sesuatu yang asing – seperti virus, bakteria atau fungus – mereka akan membersihkannya sebanyak yang mungkin. Pada masa yang sama, mereka akan meminta bantuan, memberi isyarat kepada otak untuk meningkatkan suhu badan. Haba akan secara langsung membunuh beberapa jenis bakteria. Ini juga akan meningkatkan penghasilan sel darah putih dan bahan kimia yang membunuh kuman.

Bayi selalu demam selepas menerima imunisasi; demam juga boleh diikuti dengan selesema, flu, sakit tekak, jangkitan telinga, penyakit respiratori (seperti pneumonia), krup, penyakit virus dan jangkitan saluran urinari.

Bagaimana saya boleh tahu sama ada demam bayi saya ini serius atau tidak?

Kelakuan bayi anda lebih penting daripada suhu badannya. Jika dia mempunyai demam pada 102 darjah F / 38.9 darjah C, menyusu dengan baik, bertindak balas dan mudah ditenangkan, anda tidak perlu risau, tetapi jika suhu dia ialah 101 darjah F / 38.2 darjah C, asyik menangis, lemah dan tidak aktif, anda perlu risau. Hubungi pakar pediatrik anda jika bayi anda berkelakuan aneh, jika tiba-tiba dia menangis lebih daripada biasa dan anda tidak boleh menenangkannya seperti biasa dan jika dia amat letih dan tidak menyusu. Anda perlu lebih berhati-hati dengan bayi yang lebih kecil terutamanya bayi yang di bawah tiga bulan dan doktor akan membuat pemeriksaan yang lebih lanjut pada bayi-bayi ini.

Bayi selalunya akan mudah sakit tetapi mereka juga mudah sembuh. Walau bagaimanapun, anda perlu hubungi doktor anda jika bayi anda demam selama lebih daripada tiga hari.

Apa maksud kekejangan febril?

Jika suhu anak anda meningkat secara tiba-tiba, menyebabkannya menjadi pucat, kejang, bergerak menggerenyet tidak terkawal dan mungkin tidak sedarkan diri, dia sedang mengalami serangan yang disebabkan oleh demam, yang dikenali sebagai kekejangan febril. Ini amat menakutkan apabila dilihat tetapi ia jarang membahayakan bayi. Walaupun ia kelihatan berpanjangan, serangan ini selalunya berterusan hanya selama 20 saat dan jarang berlaku lebih dari dua minit. Jika serangan berlaku lebih dari empat minit, hubungi ambulans untuk membawa anak anda ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan dengan segera

Semasa anak anda mengalami serangan, jangan kekang bayi anda dengan apa-apa cara sekali pun. Longgarkan mana-mana pakaian yang ketat dan keluarkan sebarang benda dari mulutnya seperti puting atau makanan. (Bayi anda tidak akan menelan lidahnya,) Hubungi doktor anda apabila serangan sudah reda.

Bagaimana saya boleh mengesan demam?

Ibu bapa selalunya boleh tahu jika anak mereka demam dengan menyentuh atau mencium dahinya (kajian menunjukkan metod ini tepat sebanyak 75 peratus). Gunakan termometer untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Jangan gunakan termometer oral (mulut) sehingga anak anda berusia tiga tahun. Jika bayi anda masih terlalu kecil untuk anda menggunakan termometer oral, bacaan suhu boleh diambil dari ketiaknya jika dia demam. Pegang hujung bebuli termometer di ketiak bayi dengan sikunya rapat ke sisi selama lebih kurang lima minit (termometer digital terbaru akan berbunyi bip apabila suhu telah diambil). Bacaan ketiak akan memberikan bacaan satu atau dua darjah lebih rendah daripada bacaan internal, jadi tingkatkan bacaan yang diambil.

Termometer telinga adalah cepat dan tepat untuk mengambil suhu anak anda tetapi harganya mahal dan memerlukan tangan yang stabil untuk mendapatkan bacaan tepat. Anda juga boleh menggunakan jalur demam yang anda letakkan pada dahi anak anda dan walaupun bacaannya kurang tepat, ia mudah digunakan ke atas bayi yang sedang beronta-ronta.

Apa yang boleh saya lakukan untuk merawat demam bayi saya?

Anda tidak perlu merawat demam kecuali anak anda berasa tidak selesa atau jika dia pernah mengalami kekejangan febril. Berikut adalah langkah-langkah menenangkan-demam:

• Jika anak anda demam dan berusia lebih daripada lapan minggu, anda boleh berikannya Panadol yang khasnya untuk bayi dan kanak-kanak, untuk menurunkan suhunya. Ikuti arahan dos pengambilan dengan berhati-hati. Dos yang tepat bagi ibuprofen (Nurofen) juga boleh diberikan. Parasetamol dan ibuprofen tidak disarankan kepada bayi di bawah usia dua bulan dan jangan berikan aspirin kepada bayi atau anak anda yang berusia di bawah 16 tahun, yang dikaitkan dengan Sindrom Reye's, penyakit yang sebenarnya jarang berlaku tetapi boleh membawa kematian.

• Pakaikan bayi anda baju kain kapas yang nipis (jangan balut bayi anda untuk mengurangkan demam).

• Pastikan biliknya sejuk. Jika perlu, letakkan kipas berhampiran kot bayi dan gunakan sehelai cadar atau selimut nipis untuk menyelimutkannya.

• Berikan banyak cecair. Bayi kecil memerlukan lebih banyak air daripada biasa, iaitu -- susu badan atau susu formula. Jika anda sudah memberikan minuman lain kepada bayi anda, berikan lollipop ais, sup jernih atau jus buah-buahan telah yang dicairkan.

• Cuba mandian berspan. Letakkan bayi anda dalam tub mandi yang cetek dengan air yang suam dan gosokkan badannya, satu bahagian pada satu masa, dengan kain flanel atau span yang diperah sedikit. Jangan keringkan badan bayi anda; biarkan air tersejat sendiri. Ini mungkin membuatnya lebih selesa.

Apa yang perlu saya elakkan?

• Jangan letakkan bayi anda di atas katil sahaja. Walau pun dia tidak boleh terlalu aktif, aktiviti sederhana adalah baik.

• Jangan biarkan anak anda kelaparan; bayi yang sakit memerlukan banyak kalori dan cecair.

• Jangan risau sangat. Sesetengah bayi mungkin demam dan berkelakuan seperti biasa. Bayi yang lain akan meragam sedikit tetapi dengan jagaan yang baik, bayi anda akan kembali sihat semula dengan segera.

Muntah :Apa yg normal dan apa yg tidak normal

Muntah: apa yang normal dan apa yang tidak normal

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia


Adakah ia normal jika bayi saya muntah?

Ia adalah biasa jika bayi anda muntah dengan kerap pada minggu-minggu awal apabila bayi anda sedang menyesuaikan diri kepada penyusuan dan tubuh badan mereka sedang membesar. Anda boleh tahu perbezaan sama ada bayi anda muntah atau hanya jeluak (mengeluarkan semula susu dengan jumlah yang sedikit) sebab apabila muntah, ia akan keluar dalam jumlah yang banyak. Ini juga akan menakutkan bayi anda, jadi mungkin dia akan menangis.

Semua perkara dari mabuk kereta hingga ketakcernaan boleh menyebabkan bayi anda muntah – walaupun jika hanya menangis atau batuk yang berterusan, ia akan merangsang refleks ini. Jadi bayi anda akan muntah dalam beberapa tahun pertamanya. Muntah selalunya akan berkurangan dalam masa enam hingga 24 jam selepas ia bermula, tanpa sebarang rawatan tertentu selain dari perubahan dalam diet. Sekiranya bayi anda sihat dan berat badannya bertambah, anda tidak perlu risau.

Bilakah saya perlu risau?

Semasa beberapa bulan pertama bayi anda, muntah adalah disebabkan masalah penyusuan seperti terlebih menyusu. Selepas beberapa minggu pertama, ia mungkin disebabkan oleh virus dalam perut walaupun muntah adalah tanda jangkitan dalam sistem respiratori, saluran urinari atau telinga. Apabila anak anda semakin membesar, ia mungkin adalah simptom penyakit yang lebih serius. Jangan teragak-agak untuk menghubungi doktor anda jika tanda-tanda berikut ada pada bayi anda:

• sakit abdomen yang teruk;

• abdomen yang bengkak;

• lesu atau meragam yang teruk;

• kekejangan;

• muntah berterusan yang teruk atau muntah berterusan selama lebih 24 jam;

• tanda-tanda penyahhidratan termasuk mulut yang kering, kurang air mata, kemurungan "titik lembut" di kepala bayi anda dan kurang kencing (menggunakan kurang daripada enam lampin sehari dari kencing);

• darah atau hempedu (bahan berwarna hijau) dalam muntah;

Sedikit darah di dalam muntah selalunya tidak perlu dirisaukan. Ini boleh berlaku apabila kekuatan memuntahkan menyebabkan koyakan kecil dalam salur darah yang melapisi esofagus. Muntah bayi anda juga berwarna sedikit merah sebab dia telah menelan darah daripada luka di mulutnya atau hidung berdarah dalam masa enam jam sebelumnya. Tetapi hubungi doktor anda jika masih terdapat darah dalam muntahnya atau jika jumlah muntah bertambah banyak. Doktor mungkin mahu melihat sampel muntah jika ia mengandungi darah atau hempedu, jadi walaupun ia bukanlah satu tugas yang menyenangkan, anda perlu mengambil sedikit untuk simpanan. Hempedu hijau mungkin menunjukkan usus tersumbat, satu keadaan yang memerlukan rawatan segera.

• dan, muntah berterusan yang teruk pada bayi baru lahir dalam masa setengah jam selepas menyusu.

Ini mungkin disebabkan oleh stenosis pilorus, satu penyebab muntah yang jarang berlaku dan ini bermula apabila bayi anda berusia beberapa minggu tetapi boleh berlaku bila-bila masa sahaja sebelum dia mencecah usia empat bulan. Bayi akan muntah apabila otot yang mengawal injap dari perut ke dalam usus telah menebal sehingga ia tidak akan buka sepenuhnya untuk kemasukan makanan. Masalah ini mudah diatasi dengan pembedahan minor tetapi ia memerlukan rawatan perubatan segera.

Jangan terlalu risau mengenai perkara ini. Lambat-laun, setiap anak akan jatuh sakit dan selalunya ia tidak perlu dirisaukan kecuali jika dia muntah di atas kemeja baru anda. Seperti isu keibubapaan yang lain, anda akan biasa menghadapi semua ini.

Bagaimanakah saya perlu hadapi muntah?

Apabila bayi anda muntah, dia akan kehilangan banyak cecair. Penggantian cecair ini adalah penting supaya dia tidak akan ternyahhidrat. Berikan bayi anda larutan elektrolit (seperti Larutan Penghidratan Semula Oral tetapi tanya doktor anda untuk sebarang cadangan lain) atau cecair jernih atau jus epal yang telah dicairkan – semua ini mudah untuk diminum. Pakar-pakar telah mencadangkan pelan berikut:

• Apabila bayi anda telah berhenti muntah, berikan bayi anda air atau larutan elektrolit dalam jumlah yang sedikit (jika ada) setiap setengah jam hingga satu jam.

• Jika bayi anda boleh meminumnya, berikan dia sebanyak 2 auns / 50ml larutan elektrolit berselang-seli dengan 2 auns / 50ml cecair jernih setiap setengah jam.

• Selepas dia berjaya minum dos berikut tanpa muntah, tambah susu atau susu formula yang kurang pekat dan tambahkan kuantiti setiap susuan sehingga 3 atau 4 auns / 80-100ml setiap tiga atau empat jam.

Jika bayi anda tidak muntah dalam masa 12 hingga 24 jam, anda boleh berikan dia diet biasanya semula tetapi berikan dia cecair yang banyak. Mulakan dengan makanan yang mudah dicerna seperti bijiran atau yogurt. Anda juga boleh cuba berikan cecair jernih beku seperti lolipop ais jika anak anda berusia lebih daripada 12 bulan.

Tidur juga boleh menenangkan bayi anda; kandungan perut akan dikosongkan ke dalam usus semasa tidur, mengurangkan kehendaknya untuk muntah. Jangan berikan anak anda sebarang ubatan anti-loya (sama ada dipreskripsikan atau dibeli di kaunter) kecuali ahli pediatrik anda yang mempresripsikannya.