#JantungHatiMamaLieya

#JantungHatiMamaLieya
Showing posts with label Informasi. Show all posts
Showing posts with label Informasi. Show all posts

Wednesday, September 5, 2012

SCABIES

Info for All Mommies. Please take note of this..SCABIES
 
Telur hama menetas dalam tempoh tiga hari, boleh berjangkit menerui sentuhan, berkongsi pakaian dan tilam

KUDIS buta pasti membuatkan si kecil tidak senang duduk kerana asyik menggaru tanpa henti sekali gus menyebabkan luka semakin teruk. Kanak-kanak memang senang terdedah kepada penyakit itu, tambahan pula kudis buta mudah berjangkit. Fenomena kurang menyenangkan itu sudah tentu merisaukan ibu bapa terutama yang menghantar anak ke pusat asuhan atau tadika.

Perunding Pediatrik, Dr S Selvakumar, berkata kudis buta atau scabies terjadi disebabkan serangan hama dikenali sebagai Sarcoptes Scabies yang mudah berjangkit dari individu ke individu lain terutama dalam komuniti padat seperti di pusat asuhan, asrama atau rumah penjagaan orang tua. Ia boleh menyerang sesiapa saja, namun anak kecil lebih terdedah kerana mereka belum pandai menguruskan kebersihan diri.

Katanya, ‘perpindahan’ hama boleh berlaku menerusi sentuhan secara langsung iaitu membabitkan pergerakan hama betina yang bertapak di bawah kulit manusia seterusnya bertelur di situ, manakala hama jantan pula mati selepas kedua-duanya ‘berpasangan’ untuk membiakkan lagi baka.

“Habitat paling disukai hama adalah di bawah kulit. Ia akan tertanam dan membiak di situ. Kebiasaannya hubungan rapat yang terjalin memudahkan risiko kudis buta berjangkit terutama di kalangan ahli keluarga, rakan sebilik di asrama dan pusat asuhan bagi si kecil. Berkongsi tilam, bantal, tuala atau pakaian turut membawa risiko besar untuk dijangkiti.

“Pada peringkat awal, pesakit akan mengalami masalah gatal berpanjangan berikutan tindak balas badan terhadap hama dan telur. Tanda ketara ialah bengkak seperti gelembung halus pada permukaan kulit lembap sama ada di tapak tangan dan kaki, celah jari, ketiak, punggung serta kemaluan.

“Walaupun kudis buta bukan tergolong mengikut senarai sakit kronik, jika tidak dirawat dengan segera ia boleh menjangkiti seluruh ahli keluarga dan orang terdekat dengan pesakit. Malah kehadiran kudis buta boleh mengakibatkan tekanan emosi dan rasa rendah diri kepada individu terbabit terutama kanak-kanak,” katanya.

Proses pembiakan generasi hama itu sentiasa berulang dan ia terus merebak ke kawasan dengan pantas apabila pesakit menggaru bahagian berkenaan. Jika mampu bertahan, individu dinasihatkan jangan menggaru kerana ia menyukarkan diagnosis doktor serta menyebabkan jangkitan kuman.

Menyentuh kesan emosi kepada si kecil, beliau berkata, mereka mungkin dipulaukan rakan sebaya jika didapati mempunyai masalah kudis buta dan sekali gus boleh memberikan tekanan, menimbulkan rasa malu, rendah diri dan menghadapi kesukaran bergaul.

“Dalam usia ini kanak-kanak sukar memahami sesuatu keadaan. Justeru, perasaan malu tidak mampu dielakkan jika diejek rakan hanya disebabkan kudis buta. Sokongan ibu bapa amat diperlukan, termasuk segera mendapatkan rawatan selain menitik beratkan penjagaan kebersihan anak mereka.

“Kudis buta boleh merebak dengan pantas. Kesannya juga boleh dilihat hanya dalam beberapa hari bermula bengkak, tanda merekah, menggelupas dan luka akibat garu. Telur hama pula menetas dalam masa tiga atau empat hari seterusnya membesar dalam tempoh dua minggu. Ia akan terus membiak di bawah kulit pesakit,” katanya.

Walaupun hanya sebesar 300 mikron, hama scabies mampu membiak dengan banyak. Antara kesan yang mungkin ditinggalkan selepas kudis buta dapat disembuhkan adalah tanda kehitaman yang tampak mencacatkan kulit penderita.

Selain kudis buta, penyakit kulit yang biasa menyerang kanak-kanak ialah Impetigo atau kudis yang disebabkan kuman Staphylococcus atau Streptococcus. Ia mudah berjangkit melalui sentuhan berterusan dan kerap terjadi di sekitar mulut dan hidung selain celah pelipat seperti sekitar lutut dan siku.

Gelembung merah kecil terjadi seterusnya pecah dan kelihatan seperti kulit melecur. Ia mengeluarkan air dan membentuk kerak kulit berwarna perang kekuningan. Kesannya pesakit yang dijangkiti impetigo mungkin mengalami demam, lemah anggota badan dan kadangkala cirit serta mendapat jangkitan kelenjar.

Jangkitan ini dapat dirawat dengan mencuci bahagian berkudis dan menyapu krim antibiotik. Selalunya ia mengambil masa antara lima hingga tujuh hari sebelum kudis kering dan sembuh. Selain berisiko menghadapi masalah buah pinggang, kesan impetigo yang lain termasuk jangkitan sendi dan tulang.

Rawatan

Bagi kudis buta, penggunaan sapuan ubat racun hama jenis losyen atau krim crotamiton (Eurax) dapat mengurangkan komplikasi. Ia dilumur pada seluruh badan dari tengkuk ke bawah sebelum waktu tidur. Seelok-eloknya pesakit perlu mandi dengan air suam untuk membuka liang roma sebelum disapu ubat losyen. Ubat tahan gatal seperti piriton pula mampu mengurangkan gatal waktu malam.

Tanda

Gatal berpanjangan.

Muncul garis halus kemerahan di bawah kulit.

Kehadiran gelembung kecil berair pada kulit.

Thursday, August 4, 2011

Demam



Suhu badan bayi saya telah meningkat ke paras yang amat tinggi. Adakah saya perlu risau?

Sukar untuk tidak risau apabila bayi anda sedang menangis dan suhunya meningkat tetapi demam jarang membawa bahaya. Demam merupakan suhu badan yang melebihi suhu normal badan. Suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah dari 97.7 darjah F / 36.5 darjah C sehingga 100 darjah F / 37.8 darjah C. Bayi mempunyai suhu yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang lebih besar, dan suhu manusia selalunya akan naik semasa siang dan turun semasa malam. Secara amnya, bayi tidak dianggap demam kecuali suhunya melebihi 100 darjah F / 37.7 darjah C pada waktu pagi atau melebihi 101 darjah F / 38.2 darjah C pada waktu petang.

Kenapa kita selalu demam?

Demam ialah satu cara badan kita melawan jangkitan. Makrofaj iaitu sel “pembersih” dalam badan kita sentiasa dalam keadaan berkawal. Apabila mereka menemui sesuatu yang asing – seperti virus, bakteria atau fungus – mereka akan membersihkannya sebanyak yang mungkin. Pada masa yang sama, mereka akan meminta bantuan, memberi isyarat kepada otak untuk meningkatkan suhu badan. Haba akan secara langsung membunuh beberapa jenis bakteria. Ini juga akan meningkatkan penghasilan sel darah putih dan bahan kimia yang membunuh kuman.

Bayi selalu demam selepas menerima imunisasi; demam juga boleh diikuti dengan selesema, flu, sakit tekak, jangkitan telinga, penyakit respiratori (seperti pneumonia), krup, penyakit virus dan jangkitan saluran urinari.

Bagaimana saya boleh tahu sama ada demam bayi saya ini serius atau tidak?

Kelakuan bayi anda lebih penting daripada suhu badannya. Jika dia mempunyai demam pada 102 darjah F / 38.9 darjah C, menyusu dengan baik, bertindak balas dan mudah ditenangkan, anda tidak perlu risau, tetapi jika suhu dia ialah 101 darjah F / 38.2 darjah C, asyik menangis, lemah dan tidak aktif, anda perlu risau. Hubungi pakar pediatrik anda jika bayi anda berkelakuan aneh, jika tiba-tiba dia menangis lebih daripada biasa dan anda tidak boleh menenangkannya seperti biasa dan jika dia amat letih dan tidak menyusu. Anda perlu lebih berhati-hati dengan bayi yang lebih kecil terutamanya bayi yang di bawah tiga bulan dan doktor akan membuat pemeriksaan yang lebih lanjut pada bayi-bayi ini.

Bayi selalunya akan mudah sakit tetapi mereka juga mudah sembuh. Walau bagaimanapun, anda perlu hubungi doktor anda jika bayi anda demam selama lebih daripada tiga hari.

Apa maksud kekejangan febril?

Jika suhu anak anda meningkat secara tiba-tiba, menyebabkannya menjadi pucat, kejang, bergerak menggerenyet tidak terkawal dan mungkin tidak sedarkan diri, dia sedang mengalami serangan yang disebabkan oleh demam, yang dikenali sebagai kekejangan febril. Ini amat menakutkan apabila dilihat tetapi ia jarang membahayakan bayi. Walaupun ia kelihatan berpanjangan, serangan ini selalunya berterusan hanya selama 20 saat dan jarang berlaku lebih dari dua minit. Jika serangan berlaku lebih dari empat minit, hubungi ambulans untuk membawa anak anda ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan dengan segera

Semasa anak anda mengalami serangan, jangan kekang bayi anda dengan apa-apa cara sekali pun. Longgarkan mana-mana pakaian yang ketat dan keluarkan sebarang benda dari mulutnya seperti puting atau makanan. (Bayi anda tidak akan menelan lidahnya,) Hubungi doktor anda apabila serangan sudah reda.

Bagaimana saya boleh mengesan demam?

Ibu bapa selalunya boleh tahu jika anak mereka demam dengan menyentuh atau mencium dahinya (kajian menunjukkan metod ini tepat sebanyak 75 peratus). Gunakan termometer untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Jangan gunakan termometer oral (mulut) sehingga anak anda berusia tiga tahun. Jika bayi anda masih terlalu kecil untuk anda menggunakan termometer oral, bacaan suhu boleh diambil dari ketiaknya jika dia demam. Pegang hujung bebuli termometer di ketiak bayi dengan sikunya rapat ke sisi selama lebih kurang lima minit (termometer digital terbaru akan berbunyi bip apabila suhu telah diambil). Bacaan ketiak akan memberikan bacaan satu atau dua darjah lebih rendah daripada bacaan internal, jadi tingkatkan bacaan yang diambil.

Termometer telinga adalah cepat dan tepat untuk mengambil suhu anak anda tetapi harganya mahal dan memerlukan tangan yang stabil untuk mendapatkan bacaan tepat. Anda juga boleh menggunakan jalur demam yang anda letakkan pada dahi anak anda dan walaupun bacaannya kurang tepat, ia mudah digunakan ke atas bayi yang sedang beronta-ronta.

Apa yang boleh saya lakukan untuk merawat demam bayi saya?

Anda tidak perlu merawat demam kecuali anak anda berasa tidak selesa atau jika dia pernah mengalami kekejangan febril. Berikut adalah langkah-langkah menenangkan-demam:

• Jika anak anda demam dan berusia lebih daripada lapan minggu, anda boleh berikannya Panadol yang khasnya untuk bayi dan kanak-kanak, untuk menurunkan suhunya. Ikuti arahan dos pengambilan dengan berhati-hati. Dos yang tepat bagi ibuprofen (Nurofen) juga boleh diberikan. Parasetamol dan ibuprofen tidak disarankan kepada bayi di bawah usia dua bulan dan jangan berikan aspirin kepada bayi atau anak anda yang berusia di bawah 16 tahun, yang dikaitkan dengan Sindrom Reye's, penyakit yang sebenarnya jarang berlaku tetapi boleh membawa kematian.

• Pakaikan bayi anda baju kain kapas yang nipis (jangan balut bayi anda untuk mengurangkan demam).

• Pastikan biliknya sejuk. Jika perlu, letakkan kipas berhampiran kot bayi dan gunakan sehelai cadar atau selimut nipis untuk menyelimutkannya.

• Berikan banyak cecair. Bayi kecil memerlukan lebih banyak air daripada biasa, iaitu -- susu badan atau susu formula. Jika anda sudah memberikan minuman lain kepada bayi anda, berikan lollipop ais, sup jernih atau jus buah-buahan telah yang dicairkan.

• Cuba mandian berspan. Letakkan bayi anda dalam tub mandi yang cetek dengan air yang suam dan gosokkan badannya, satu bahagian pada satu masa, dengan kain flanel atau span yang diperah sedikit. Jangan keringkan badan bayi anda; biarkan air tersejat sendiri. Ini mungkin membuatnya lebih selesa.

Apa yang perlu saya elakkan?

• Jangan letakkan bayi anda di atas katil sahaja. Walau pun dia tidak boleh terlalu aktif, aktiviti sederhana adalah baik.

• Jangan biarkan anak anda kelaparan; bayi yang sakit memerlukan banyak kalori dan cecair.

• Jangan risau sangat. Sesetengah bayi mungkin demam dan berkelakuan seperti biasa. Bayi yang lain akan meragam sedikit tetapi dengan jagaan yang baik, bayi anda akan kembali sihat semula dengan segera.

Muntah :Apa yg normal dan apa yg tidak normal

Muntah: apa yang normal dan apa yang tidak normal

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia


Adakah ia normal jika bayi saya muntah?

Ia adalah biasa jika bayi anda muntah dengan kerap pada minggu-minggu awal apabila bayi anda sedang menyesuaikan diri kepada penyusuan dan tubuh badan mereka sedang membesar. Anda boleh tahu perbezaan sama ada bayi anda muntah atau hanya jeluak (mengeluarkan semula susu dengan jumlah yang sedikit) sebab apabila muntah, ia akan keluar dalam jumlah yang banyak. Ini juga akan menakutkan bayi anda, jadi mungkin dia akan menangis.

Semua perkara dari mabuk kereta hingga ketakcernaan boleh menyebabkan bayi anda muntah – walaupun jika hanya menangis atau batuk yang berterusan, ia akan merangsang refleks ini. Jadi bayi anda akan muntah dalam beberapa tahun pertamanya. Muntah selalunya akan berkurangan dalam masa enam hingga 24 jam selepas ia bermula, tanpa sebarang rawatan tertentu selain dari perubahan dalam diet. Sekiranya bayi anda sihat dan berat badannya bertambah, anda tidak perlu risau.

Bilakah saya perlu risau?

Semasa beberapa bulan pertama bayi anda, muntah adalah disebabkan masalah penyusuan seperti terlebih menyusu. Selepas beberapa minggu pertama, ia mungkin disebabkan oleh virus dalam perut walaupun muntah adalah tanda jangkitan dalam sistem respiratori, saluran urinari atau telinga. Apabila anak anda semakin membesar, ia mungkin adalah simptom penyakit yang lebih serius. Jangan teragak-agak untuk menghubungi doktor anda jika tanda-tanda berikut ada pada bayi anda:

• sakit abdomen yang teruk;

• abdomen yang bengkak;

• lesu atau meragam yang teruk;

• kekejangan;

• muntah berterusan yang teruk atau muntah berterusan selama lebih 24 jam;

• tanda-tanda penyahhidratan termasuk mulut yang kering, kurang air mata, kemurungan "titik lembut" di kepala bayi anda dan kurang kencing (menggunakan kurang daripada enam lampin sehari dari kencing);

• darah atau hempedu (bahan berwarna hijau) dalam muntah;

Sedikit darah di dalam muntah selalunya tidak perlu dirisaukan. Ini boleh berlaku apabila kekuatan memuntahkan menyebabkan koyakan kecil dalam salur darah yang melapisi esofagus. Muntah bayi anda juga berwarna sedikit merah sebab dia telah menelan darah daripada luka di mulutnya atau hidung berdarah dalam masa enam jam sebelumnya. Tetapi hubungi doktor anda jika masih terdapat darah dalam muntahnya atau jika jumlah muntah bertambah banyak. Doktor mungkin mahu melihat sampel muntah jika ia mengandungi darah atau hempedu, jadi walaupun ia bukanlah satu tugas yang menyenangkan, anda perlu mengambil sedikit untuk simpanan. Hempedu hijau mungkin menunjukkan usus tersumbat, satu keadaan yang memerlukan rawatan segera.

• dan, muntah berterusan yang teruk pada bayi baru lahir dalam masa setengah jam selepas menyusu.

Ini mungkin disebabkan oleh stenosis pilorus, satu penyebab muntah yang jarang berlaku dan ini bermula apabila bayi anda berusia beberapa minggu tetapi boleh berlaku bila-bila masa sahaja sebelum dia mencecah usia empat bulan. Bayi akan muntah apabila otot yang mengawal injap dari perut ke dalam usus telah menebal sehingga ia tidak akan buka sepenuhnya untuk kemasukan makanan. Masalah ini mudah diatasi dengan pembedahan minor tetapi ia memerlukan rawatan perubatan segera.

Jangan terlalu risau mengenai perkara ini. Lambat-laun, setiap anak akan jatuh sakit dan selalunya ia tidak perlu dirisaukan kecuali jika dia muntah di atas kemeja baru anda. Seperti isu keibubapaan yang lain, anda akan biasa menghadapi semua ini.

Bagaimanakah saya perlu hadapi muntah?

Apabila bayi anda muntah, dia akan kehilangan banyak cecair. Penggantian cecair ini adalah penting supaya dia tidak akan ternyahhidrat. Berikan bayi anda larutan elektrolit (seperti Larutan Penghidratan Semula Oral tetapi tanya doktor anda untuk sebarang cadangan lain) atau cecair jernih atau jus epal yang telah dicairkan – semua ini mudah untuk diminum. Pakar-pakar telah mencadangkan pelan berikut:

• Apabila bayi anda telah berhenti muntah, berikan bayi anda air atau larutan elektrolit dalam jumlah yang sedikit (jika ada) setiap setengah jam hingga satu jam.

• Jika bayi anda boleh meminumnya, berikan dia sebanyak 2 auns / 50ml larutan elektrolit berselang-seli dengan 2 auns / 50ml cecair jernih setiap setengah jam.

• Selepas dia berjaya minum dos berikut tanpa muntah, tambah susu atau susu formula yang kurang pekat dan tambahkan kuantiti setiap susuan sehingga 3 atau 4 auns / 80-100ml setiap tiga atau empat jam.

Jika bayi anda tidak muntah dalam masa 12 hingga 24 jam, anda boleh berikan dia diet biasanya semula tetapi berikan dia cecair yang banyak. Mulakan dengan makanan yang mudah dicerna seperti bijiran atau yogurt. Anda juga boleh cuba berikan cecair jernih beku seperti lolipop ais jika anak anda berusia lebih daripada 12 bulan.

Tidur juga boleh menenangkan bayi anda; kandungan perut akan dikosongkan ke dalam usus semasa tidur, mengurangkan kehendaknya untuk muntah. Jangan berikan anak anda sebarang ubatan anti-loya (sama ada dipreskripsikan atau dibeli di kaunter) kecuali ahli pediatrik anda yang mempresripsikannya.

Wednesday, May 25, 2011

Teknik Tepuk Bantu Masalah Bayi Berkahak

Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi, sara merengek2. Mungkin nak susu kut. Aku pun kejut la papanye..mintak tlg buat susu (alwizz cuz mamanye malas bgn dr katil). Tetiba Sara batuk..Terkejut aku..Ya Allah..Sara jgnlah sakit..tetiba aku dgr dia mcm selsema or kahak aje. Ya Allah..Sedih aku tgknye.. Lps Bagi susu aku pun tepuk2 diabaru dia tidur. Itupun dlm kul 4.30.. Then Aku pun terlelap...Dalam kul 6 tu aku tgk sara sedap je tido. Alhamdullilah tak dgr lak dia batuk2 ke, selsema ke.. Girang hati tak terkira.. Tapi dlm keta on the way ku uamh baby sitter, aku rasa badan dia panas sedikit..hmm..takkan la demam.. tapi dia still happy go lucky..berat lak hati aku nak tinggal kat baby sitter. Masuk office trus cari blog pasal batuk,selsema dan demam pada baby. dan aku terjumpa satu info yang menarik dan ingin share bersama rakan..

Teknik tepuk bantu masalah bayi berkahak



SITI Farah Aini Jamaludin menunjukkan alat bantuan perubatan yang digunakan dalam kes mengeluarkan kahak daripada kerongkong bayi.


BATUK dan selesema adalah dua masalah yang boleh dikatakan pasti berlaku pada setiap bayi. Tidak kira musim sejuk atau panas, simptom tersebut boleh menjadi kronik kepada kesihatan bayi kerana kesukaran mereka untuk mengeluarkan kahak dan hingus boleh menjadi punca penyakit seperti bronkitis atau brochospasm.
Saat masalah tersebut berlaku pada bayi, pasti ibu bapa akan berasa gusar kerana bayi belum mempunyai kepandaian untuk mengeluarkan kahak mahupun menghembus hingus mereka sendiri.
Sebab itulah ada ibu atau bapa yang prihatin sanggup menyedut hingus pada hidung bayi mereka kerana khuatir keadaan tersebut akan membuatkan bayi tidak selesa untuk bernafas.
Syabas kepada ibu bapa yang sanggup melakukan yang terbaik demi kesihatan anak mereka, tapi alangkah lebih bagusnya jika mereka mengetahui tentang teknik fisioterapi yang terbukti boleh memberikan bayi lebih kelegaan daripada masalah batuk dan selesema yang dihadapi.
Pakar Fisioterapi dari Pusat Perubatan Pakar Alpha, Siti Farah Aini Jamaludin berkata, bayi di bawah usia dua tahun memang kerap mengalami bronchospasm iaitu bengkak dan pengecutan dalam paru-paru.
"Simptom penyakit ini seperti batuk, demam, selesema dan sesak nafas. Penyakit ini boleh juga dialami oleh orang dewasa tapi lebih bermasalah jika ia menyerang bayi kerana mereka tidak berupaya mengeluarkan kahak sendiri," ujarnya ketika ditemui di klinik fisioterapinya di Pusat Perubatan Pakar Alpha, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.
Pengalaman
Berdasar pengalamannya selama lebih tujuh tahun melakukan fisioterapi di pusat-pusat perubatan sebelum ini, kanak-kanak di bawah usia lima tahun sering berhadapan dengan masalah bronkitis atau bronkospasm.
"Ibu bapa biasanya akan merujuk anak mereka ke hospital apabila mendapati anak mereka menghadapi masalah pernafasan seperti hidung tersumbat, pernafasan berbunyi serta simptom seakan penyakit asma.
"Sebenarnya jika ibu atau bapa mempunyai sedikit ilmu fisioterapi, mereka boleh mempraktikkan kepada bayi mereka agar tidak mudah berlaku jangkitan lain terhadap bayi.
"Sebagai contoh, jika bayi mengalami hidung tersumbat dan batuk berkahak dan di rumah memang tidak mempunyai mesin sedut hingus, ibu bapa boleh mencuba teknik tepukan yang dinamakan percussion ke atas bayi mereka.
"Caranya mudah, pastikan bayi dalam posisi meniarap dan letakkan bantal di bawah perut, pastikan bantal itu tidak terlalu tebal. Kemudian condongkan sedikit posisi bantal dengan kedudukan kepala bayi ke bawah dan kaki di atas, pastikan kaki lurus.
"Ibu atau bapa pula bentukkan tapak tangan seakan cupping (lubang di tengah) dan gunakan kekuatan dari pergelangan tangan untuk menepuk perlahan di belakang bayi.
"Tepuk selama lebih kurang 15 minit dan beralih di kiri dan kanan tubuh bayi pula. Tujuan menepuk ini adalah untuk melonggarkan kahak di dalam paru-paru dan 15 minit selepas selesai menepuk, biasanya bayi akan batuk atau bersin dan sekali gus mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika tertelan, tidak mengapa kerana kahak tersebut akan keluar menerusi najis mereka," jelas Siti Farah.
Siti Farah mengingatkan ibu bapa, sebelum memulakan teknik tepukan percussion ini, pastikan anak tidak minum susu sejam atau setengah jam sebelum bagi mengelakkan muntah.
Siti Farah berkata, bayi yang kesnya dirujuk ke fisioterapi oleh doktor, biasanya akan melalui fisioterapi pada bahagian dada.
"Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor pula untuk melambatkan bakteria, manakala nebulizer adalah untuk membuka saluran pernafasan bayi yang sempit.
"Kombinasi tiga elemen iaitu ubat, nebulizer dan fisioterapi merupakan kaedah yang lazim dilakukan di hospital ke atas bayi yang menghadapi masalah tersebut," katanya.
Menurut Siti Farah lagi, apabila bayi diserahkan kepada ahli fisioterapi mereka akan dibedung dan teknik tepukan untuk melonggarkan kahak akan dibuat.
Selepas tepukan, mesin penyedut kahak akan digunakan bagi membantu bayi mengeluarkan kahak dan hingus mereka.
"Saya memang faham perasaan ibu yang menangis dan tidak sanggup melihat bayi mereka melalui prosedur tersebut. Tetapi ibu atau bapa perlu tahu, proses tersebut tidak menyakitkan ia cuma tidak selesa pada bayi dan kita sukar untuk mententeramkan bayi.
"Adakalanya juga ketika proses menyedut kahak dan hingus akan keluar bersama sedikit darah, ibu bapa jangan panik. Mereka perlu faham keadaan tersebut berlaku kerana saluran pernafasan anak terlalu sempit dan masih lembut.
"Apabila anak meronta, ia hanya akan menyebabkan kesukaran kepada bayi itu sendiri juga mendatangkan kerisauan kepada si ibu yang melihatnya," ujar Siti Farah.

Thanks for the info..


Friday, May 6, 2011

Jus Untuk Pesakit Gout

Pilihan Jus untuk Pesakit Gout
Source : Pak Ngah - Farit Ismeth Amir

 
JUS Tembikai

Bahan
250 gram buah tembikai


Cara Penyediaan
Buah tembikai dipotong dan bijinya dibuang. Kemudian dikisar. Minum sehari sekali, 2 – 3 jam selepas makan petang atau malam.

JUS Oren

Bahan
100 gram buah oren


Cara Penyediaan
Potong buah oren, buang bijinya dan kemudian kisar sehingga hancur. Minum sehari sekali, 2 jam selepas makan pagi atau malam.

JUS Mangga

Bahan-Bahan
50 gram buah mangga dan 50 mililiter air.


Cara Penyediaan
Kupas mangga, buang bijinya dan potong dadu. Kemudian kisar bersama air yang dimasukkan sedikit demi sedikit. Minum sekali sehari di waktu pagi atau tengahari (2 – 3 jam selepas makan).

JUS Pisang Embun


Bahan
125 – 130 gram pisang embun


Cara Penyediaan
Buang kulit pisang embun dan kisar isinya. Minum sekali sehari, 2 jam selepas makan malam.




JUS Epal

Bahan-Bahan
120 gram epal dan 50 mililiterl air.

Cara Penyediaan
Bersihkan buah epal dan buang bijinya. Kemudian kisar sehingga hancur dan tambahkan air, sedikit demi sedikit.
Minum sehari sekali selepas makan malam.

JUS Jambu Batu


Bahan-Bahan
100 gram jambu batu dan 50 mililiter air.


Cara Penyediaan
Bersihkan buah jambu batu dan buang bijinya. Kemudian kisar sehingga hancur dan lembut. Minum sehari sekali, 2 jam selepas makan pagi atau tengahari, atau malam.

JUS Betik

Bahan
130 gram buah betik


Cara Penyediaan
Kupas buah betik, buang bijinya, potong dadu dan kisar. Minum sehari sekali, pada waktu siang atau malam (2 – 3 jam selepas makan).